Followers

Search This Blog

Saturday 26 May 2012

TBC sudah berkubur

Untuk makluman semua, TBC sudah berkubur, blog ini tidak akan di update lagi

Thursday 20 May 2010

Deep Purple di GH..








DEEP Purple Asia 2010 Live In Malaysia berjaya menarik hampir 7,000 penonton di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.







SEAWAL pukul 6 petang lagi, Arena of Stars di taman tema Genting Highlands, Pahang sudah dipenuhi para pengunjung. Tumpuan pada petang dan malam itu bukannya di taman tema terkenal di atas puncak bukit peranginan tersebut.
Sebaliknya, ramai pengunjung terutamanya yang berusia 40 tahun ke atas berpusu-pusu menuju ke Arena of Stars kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsert terbaru kumpulan terkenal, Deep Purple di situ.
Ramai yang tentunya mahu melepaskan rindu menyaksikan konsert kumpulan rock legenda berasal dari Hertford, England itu. Kali terakhir Deep Purple mengadakan konsert di negara ini ialah pada tahun 2001.
Kunjungan kali keempat kumpulan rock yang ditubuhkan pada 1968 itu benar-benar berjaya menarik perhatian para peminat mereka. Buktinya malam Ahad lalu Arena of Stars dibanjiri hampir 7,000 penonton kumpulan terbabit.
Malah, pada kira-kira pukul 7.30 malam ruang pusat pementasan itu sudahpun dipenuhi para peminat meskipun persembahan Deep Purple dijadualkan bermula pukul 8 malam.
Biarpun dipenuhi ribuan penonton, tetapi Arena of Stars tidaklah seriuh konsert-konsert biasa. Mungkin antara faktornya kerana hampir separuh daripada peminat yang hadir pada malam itu terdiri daripada mereka yang berusia 40-an.
Menyaksikan konsert yang diberi nama Deep Purple Asia 2010 Live In Malaysia itu umpama sebuah majlis yang penuh dengan kesopanan. Tiada jerit pekik, menyanyi bersama-sama mahupun aksi mengangguk-anggukkan kepala di kalangan penontonnya.
Apatah lagi, ruang tempat duduk bahagian hadapan yang menepatkan tiket paling mahal berharga RM468 disediakan kerusi empuk beralaskan pembalut putih bersih menambahkan lagi suasana sopan pada konsert itu.
Jam menunjukkan pukul 8.15 malam apabila Ian Gillan selaku vokalis utama Deep Purple muncul ke depan pentas diikuti Steve Morse (gitaris) mendapat tepukan ala-ala kadar sahaja daripada para penonton.
Jeritan para peminat yang kedengaran juga seperti suara anak dara pingitan yang begitu menjaga tatasusila dalam budaya Timur sewaktu seorang demi seorang anggota kumpulan itu tampil di pentas.
Bagaimanapun kemunculan Steve dan Ian itu yang diikuti pula oleh Don Airey (keyboard), Roger Glover (bass) serta Ian Paice (dram) cuma menambahkan sedikit lagi jeritan, sorakan dan tepukan pada malam itu.
Lampu sorot mula menghala ke setiap anggota Deep Purple, desingan petikan gitar Steve yang mengalunkan melodi lagu pertama mereka berjudul Highway Star, namun suasana sorakan masih belum berada di tahap maksima.
Lagu pembuka tirai itu bukan sahaja salah satu lagu popular kumpulan yang boleh dikategorikan sebagai legenda tersebut. Malah, kerancakan lagu itu juga belum benar-benar menarik perhatian dan penghayatan para penonton.
Para peminat yang mungkin baru hendak memanaskan badan kerana suhu dingin di luar arena itu hanya sekadar menonton dan bertepuk tangan saat lagu itu melabuhkan melodinya.
Keadaan yang sama terus berlanjutan daripada satu lagu ke lagu seterusnya. Deep Purple selepas itu meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu-lagu seperti Speed King, Space Truckin, Strange Kind of Woman dan Hush.
Malah, Ian yang mengeluarkan sepenuh tenaga pada usia emasnya sewaktu menyanyikan lagu yang rancak seperti Black Night dan Perfect Strangers juga tidak banyak mendapat respons yang agresif daripada para penonton.
Bagaimanapun, suasana 'tonton dan layan' daripada para penonton itu terus berlarutan sehinggalah lagu terakhir Deep Purple pada malam itu yang berjudul Smoke On The Water.
Suasana tiba-tiba berubah apabila para penonton terutamanya yang berusia 20-an dan 30-an mula meredah bahagian hadapan pentas lalu menari, mengangguk-anggukkan kepala dan menyanyikan lagu itu bersama-sama Ian.
Hampir 200 penonton menyerbu ke bahagian depan pentas bagi memberi sokongan terhadap alunan lagu itu. Pada masa sama, seluruh penonton yang sebelum itu duduk tiba-tiba bangun sambil menjerit, bertepuk tangan dan menyanyikan lagu Smoke On The Water beramai-ramai.
Biarpun rasa keterujaan para penonton hanya lahir pada saat-saat akhir iaitu selepas lebih 90 minit konsert itu berlangsung tetapi ia tetap memberi kepuasan bukan sahaja kepada para penonton tetapi juga kumpulan tersebut.
Daripada segi bilangan penonton pula, konsert terbaru Deep Purple itu boleh dianggap antara yang berjaya sejak konsert pertama mereka di negara ini pada 1982 diikuti 1999 dan 2001.
Ini kerana, dengan tiket berharga RM468, RM368, RM268 dan RM168 itu, konsert kumpulan lima anggota itu boleh dianggap berjaya berdasarkan ruang kapasiti arena yang dipenuhkan pada malam tersebut.
Senario itu membuktikan meskipun setiap anggota Deep Purple rata-rata berusia 60-an tetapi tenaga dan gaya persembahan mereka masih tidak jauh berbeza sewaktu zaman hippies mereka dengan berseluar bootcut dan berambut panjang.
Ian misalnya masih ligat menari meliuk lintuk ala-ala penari padang pasir menelurusi petikan keyboards Don Airey yang seakan-akan bereksperimen dengan pelbagai alunan gaya bunyi-bunyian yang pelik-pelik.
Sayangnya, konsert selama hampir dua jam itu adalah suatu ruang lingkup yang agak terhad dalam melunaskan banyak lagi lagu-lagu Deep Purple yang tidak terungkap pada malam tersebut.
Sebagai contohnya, pada malam itu kumpulan yang juga boleh digelar 'the living legend' itu tidak membawakan lagu slow mereka yang paling popular iaitu Soldier of Fortune.
Malah, lagu-lagu popular Deep Purple seperti Woman From Tokyo dan Any Fule Know That juga tidak dipersembahkan oleh kumpulan itu yang telah menghasilkan lebih 17 album sepanjang 42 tahun mereka ditubuhkan.
Walau apa pun, para penonton yang keluar dari Arena of Stars mampu tersenyum puas dengan imbauan lagu-lagu Deep Purple masih dirindui ramai dalam suasana hujan lebat yang mula turun saat konsert anjuran ZI Production Sdn. Bhd., itu melabuhkan tirainya pada malam tersebut.
MASA NAIK SYOK JALAN OK KERING...MASA BALIK HUJAN LEBAT...BRO

Peserta ekspedisi Tanah Suci bertolak ke Laos


PARA peserta konvoi berehat di Huaisai yang terletak dalam perjalanan antara Chiang Khong, Thailand dan sempadan Laos semalam.


KUALA LUMPUR - Laos adalah destinasi yang dituju 15 peserta kumpulan konvoi Ekspedisi 1Malaysia Kembara ke Bumi Suci 2010 semalam.

Pengurus Penganjur, Azman Baharuddin berkata, untuk sampai ke sempadan Laos, para peserta konvoi melalui perjalanan sejauh 360 kilometer dari Chiang Khong, Thailand.

Katanya, selepas itu, mereka terpaksa meneruskan perjalanan dengan feri untuk menyeberangi Sungai Mekong kerana tiada jambatan di kawasan tersebut.

"Kami bertolak lebih awal iaitu pada pada pukul 7 pagi untuk memastikan kami tiba di lokasi mengikut jadual yang ditetapkan.

"Perjalanan yang dilalui sememangnya mencabar kerana kumpulan konvoi perlu merentasi jalan rosak serta kawasan berbukit bukau," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin kumpulan konvoi tersebut berada di Chiang Khong setelah melalui perjalanan sejauh 176 kilometer dari Chiang Rai.

Jelasnya, perjalanan dari Chiang Rai untuk ke Chiang Khong bermula pada pukul 12 tengah hari kerana peserta perlu berehat panjang bagi memulihkan kembali tenaga untuk perjalanan seterusnya.

Tuesday 18 May 2010

Peserta konvoi selamat tiba di Chiang Rai


PESERTA konvoi beramah mesra bersama penduduk muslim Thailand di Surat Thani, Thailand kelmarin.


KUALA LUMPUR - Konvoi Ekspedisi Kembara ke Bumi Suci 2010 selamat tiba di Chiang Rai, Thailand pada pukul 5.30 petang waktu tempatan kelmarin.

Pengurus penganjur, Azman Baharuddin berkata, untuk tiba di situ, peserta terpaksa menempuh perjalanan sejauh 566 kilometer dari Surat Thani.

"Cuaca mendung pada awal perjalanan menjadi panas terik pada waktu tengah hari di utara Thailand dan hari ini (kelmarin), tiga peserta iaitu Nahrawi Marzoki, Zamran Ibrahim dan Musa Mohammad mengalami sakit perut selepas makan.

"Mereka tidak serius, mungkin terkejut dengan kepedasan makanan Thailand," katanya kepada Kosmo!

Kembara umrah bermotosikal


KONVOI akan menjadi pasukan pertama yang mengerjakan ibadah umrah dengan bermotosikal.


SEPULUH buah negara dengan jarak perjalanan sejauh 15,000 kilometer. Itulah cabaran yang bakal ditempuhi kumpulan konvoi tempatan dalam menyahut seruan keimanan ke Tanah Suci Mekah.

Istimewanya, ekspedisi 1Malaysia Kembara ke Bumi Suci (Putrajaya-Mekah 2010) anjuran Israq Adventure Sdn. Bhd akan menjadi perjalanan ibadah umrah pertama yang dilakukan rakyat negara ini dengan cara bermotosikal.

Pengembaraan yang dijadualkan berlepas pada 15 Mei itu akan dianggotai oleh 11 penunggang motosikal bersama empat orang daripada unit sokongan menggunakan pacuan empat roda.

Dari Putrajaya, perjalanan akan merentasi Thailand, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turkey, Syria, Jordan sebelum berakhir di Arab Saudi.

Pengurus Israq Adventure, Azman Baharuddin berkata, setelah dua tahun merancang akhirnya pasukan berjaya menganjurkan pengembaraan untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT.

Selain menyahut seruan yang difardhukan ke atas setiap Muslim itu, pengembaraan yang dijangka memakan masa kira-kira 50 hari itu diharap dapat dijadikan pembakar semangat rakyat negara ini.

Ekspedisi akan membawa bersama semangat Satu Malaysia yang didokong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selaku Pengurus Ekspedisi, beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam konvoi pacuan empat roda dan motosikal bagaimanapun mengakui cabaran yang bakal dihadapi dalam ekspedisi itu cukup mencabar.

"Kita harap pengalaman daripada konvoi dan siri jelajah terdahulu dapat membantu melancarkan lagi perjalanan.

"Setakat ini semua anggota yang terlibat telah memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi,'' tambah beliau.

Konvoi yang terdiri daripada lima penunggang BMW, lima Kawasaki dan seorang penunggang Honda itu dijangka akan menempuhi cabaran getir di laluan Gurun Ghobi, China dan cuaca panas di Jordan dan Arab Saudi.

Azman berkata, keinginan dan semangat pengembaraan itu didorong perasaan ingin tahu cabaran dan kesukaran yang dihadapi golongan terdahulu dalam menyahut seruan Ilahi.

"Sebagai ahli yang sudah lama bergiat di dalam komuniti motosikal kuasa tinggi kita ingin mengetahui apakah bentuk cabaran yang menanti di sepanjang laluan menuju ke tanah suci.

"Sekurang-kurangnya dengan cara ini kita dapat memahami kesusahan yang dilalui umat Islam terdahulu untuk pergi menunaikan rukun Islam kelima itu,'' ujarnya.

Selain itu, misi penting sepanjang pengembaraan termasuk persinggahan di 40 buah masjid utama termasuk lima masjid tersohor iaitu Masjid Xian, Masjid Kalon (Uzbekistan), Masjid Umayyad (Syria), Masjid Nabawi dan Masjidil Haram di Arab Saudi.

"Kita akan bertemu dengan masyarakat Islam di sepanjang laluan dan terlibat di dalam beberapa kerja amal,'' ujarnya.

Penaung Ekspedisi adalah Datuk Ab Rauf Yusoh, diikuti oleh Pengarah Ekspedisi; Nahrawi Marzoki, Ketua Ekspedisi; Mohamed Assir Mohamed Ariff, Penolong Pengurus; Hashemi Albakri, Koordinator; Hanapiah Mat Nor (TBC), Mekanik; Gazaly Osman dan Doktor; Dr. Fahmi Rashid(TBC)

Friday 30 April 2010

SUMBANGAN KEWANGAN KELAB

Hari ini TBC telah menerima cek bantuan kewangan oleh kerajaan Perak untuk kelab menjalankan program bagi tahun 2010. Cek telah disampaikan oleh YB Dato' Muhamad Zahir Dato' Mohd Khalid. Turut menerima sumbangan ialah Kelab 4x4 Taiping, Kelab Kancil Taiping dan beberapa NGO lain. Kelab mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Dato' Muhammad Zahir Exco Perak dan juga ADUN Kamunting
Posted by Picasa