Followers

Search This Blog

Tuesday 18 May 2010

Kembara umrah bermotosikal


KONVOI akan menjadi pasukan pertama yang mengerjakan ibadah umrah dengan bermotosikal.


SEPULUH buah negara dengan jarak perjalanan sejauh 15,000 kilometer. Itulah cabaran yang bakal ditempuhi kumpulan konvoi tempatan dalam menyahut seruan keimanan ke Tanah Suci Mekah.

Istimewanya, ekspedisi 1Malaysia Kembara ke Bumi Suci (Putrajaya-Mekah 2010) anjuran Israq Adventure Sdn. Bhd akan menjadi perjalanan ibadah umrah pertama yang dilakukan rakyat negara ini dengan cara bermotosikal.

Pengembaraan yang dijadualkan berlepas pada 15 Mei itu akan dianggotai oleh 11 penunggang motosikal bersama empat orang daripada unit sokongan menggunakan pacuan empat roda.

Dari Putrajaya, perjalanan akan merentasi Thailand, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turkey, Syria, Jordan sebelum berakhir di Arab Saudi.

Pengurus Israq Adventure, Azman Baharuddin berkata, setelah dua tahun merancang akhirnya pasukan berjaya menganjurkan pengembaraan untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT.

Selain menyahut seruan yang difardhukan ke atas setiap Muslim itu, pengembaraan yang dijangka memakan masa kira-kira 50 hari itu diharap dapat dijadikan pembakar semangat rakyat negara ini.

Ekspedisi akan membawa bersama semangat Satu Malaysia yang didokong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selaku Pengurus Ekspedisi, beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam konvoi pacuan empat roda dan motosikal bagaimanapun mengakui cabaran yang bakal dihadapi dalam ekspedisi itu cukup mencabar.

"Kita harap pengalaman daripada konvoi dan siri jelajah terdahulu dapat membantu melancarkan lagi perjalanan.

"Setakat ini semua anggota yang terlibat telah memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi,'' tambah beliau.

Konvoi yang terdiri daripada lima penunggang BMW, lima Kawasaki dan seorang penunggang Honda itu dijangka akan menempuhi cabaran getir di laluan Gurun Ghobi, China dan cuaca panas di Jordan dan Arab Saudi.

Azman berkata, keinginan dan semangat pengembaraan itu didorong perasaan ingin tahu cabaran dan kesukaran yang dihadapi golongan terdahulu dalam menyahut seruan Ilahi.

"Sebagai ahli yang sudah lama bergiat di dalam komuniti motosikal kuasa tinggi kita ingin mengetahui apakah bentuk cabaran yang menanti di sepanjang laluan menuju ke tanah suci.

"Sekurang-kurangnya dengan cara ini kita dapat memahami kesusahan yang dilalui umat Islam terdahulu untuk pergi menunaikan rukun Islam kelima itu,'' ujarnya.

Selain itu, misi penting sepanjang pengembaraan termasuk persinggahan di 40 buah masjid utama termasuk lima masjid tersohor iaitu Masjid Xian, Masjid Kalon (Uzbekistan), Masjid Umayyad (Syria), Masjid Nabawi dan Masjidil Haram di Arab Saudi.

"Kita akan bertemu dengan masyarakat Islam di sepanjang laluan dan terlibat di dalam beberapa kerja amal,'' ujarnya.

Penaung Ekspedisi adalah Datuk Ab Rauf Yusoh, diikuti oleh Pengarah Ekspedisi; Nahrawi Marzoki, Ketua Ekspedisi; Mohamed Assir Mohamed Ariff, Penolong Pengurus; Hashemi Albakri, Koordinator; Hanapiah Mat Nor (TBC), Mekanik; Gazaly Osman dan Doktor; Dr. Fahmi Rashid(TBC)

No comments:

Post a Comment